Mengapa Berkaki Ayam Baik Untuk Kanak-Kanak

Berkaki ayam bermaksud tidak mengenakan sebarang kasut dengan itu selalunya ibubapa akan menghalang anak untuk bermain di luar tanpa kasut kerana risau akan cedera.

Namun menurut pakar, berkaki ayam di luar ada baiknya untuk kematangan dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak.

Antara lima sebab mengapa berkaki ayam boleh membantu dalam proses pertumbuhan ialah:

1. Ia merupakan cara alami pembentukan lengkungan tapak kaki

Apabila anak anda memijak pelbagai tekstur permukaan tanpa mengenakan kasut, setiap langkah mereka lakukan pada tanah secara langsung akan membentuk lengkungan tapak kaki.

Permukaan ini boleh jadi rata dan juga tidak rata, basah ataupun kering termasuk rumput, pasir, jalanraya, kayu dan permaidani.

Mendedahkan mereka terhadap pelbagai permukaan adalah penting bagi memastikan pembentukan lengkungan tapak kaki untuk memastikan kaki yang lebih kuat.

Lekungan kaki normal berbanding kaki yang tidak ada lekungan. Sumber Imej: Indy Padiotry

2. Berkaki ayam mendedahkan kanak-kanak kepada sensasi yang berbeza.

Mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai permukaan boleh meningkatkan fungsi sensori anak yang diterima pada permukaan tapak kaki.

Sensitiviti ini menjadikan kanak-kanak rasa dan dengan tangkas mengetahui permukaan serta tekstur yang mereka sedang pijak.

Ini juga akan membolehkan mereka mengenal dengan cepat permukaan yang kering, basah, dingin, keras, kasar, ataupun licin. Ia turut membantu mereka menyesuaikan diri dan beradaptasi dengan permukaan yang berbeza-beza.

3. Bantu dalam keseimbangan badan

Apabila berkaki ayam, kesemua jari kaki akan kembang supaya permukaan sokongan akan lebih lebar.

Ia akan bantu menstabilkan badan apabila mereka menjejakkan kaki ke tanah.

Sebagai contoh, apabila mereka berdiri di atas permukaan yang lembut seperti katil, jari kaki mereka akan kembang untuk mengekalkan keseimbangan badan agat tidak jatuh

4. Membantu dalam pergerakan keseluruhan badan.

Informasi yang diterima deria di tapak kaki boleh membantu meregulasikan pergerakan badan bergantung kepada permukaan yang dipijak.

Apabila kanak-kanak lebih kerap berkaki ayam, lebih banyak kemahiran dalam berjalan serta pergerakan akan dipelajarinya.

Ini adalah salah satu sebab mengapa penari ballet lebih menggunakan stokin menari berbanding kasut ketika berlatih.

5. Membantu fokus dan meningkatkan keyakinan diri.

Apabila berkaki ayam, ia dapat membantu kanak-kanak untuk lebih berhati-hati tentang apa yang mereka pijak dan bereaksi terhadap permukaan.

Jika kanak-kanak tidak mampu melakukannya ia akan menyebabkan kaki tersadung dan jatuh.

Oleh sebab itu adalah digalakkan untuk kanak-kanak cuba pijak di atas pasir, rumput, batu, permukaan keras, lembut, air dan sebagainya.

Namun sudah tentu ia harus dilakukan dengan pengawasan orang dewasa.

Akan tetapi sesuatu tindakan tidak boleh dilakukan dengan berlebihan. Jika anak anda tidak sama sekali mahu mengenakan kasut, bermakna mereka terlebih sensitif dan ia tidak baik untuk perkembangan mereka.

Malah, jika ia berlaku, anda harus bertemu dengan pakar kanak-kanak.

Leave a comment