Adakah Kita Telah Gagal Melindungi Anak Kita?

Tulisan editor atas talian sebuah akhbar tempatan telah menarik perhatian tentang isu melibatkan keselamatan anak di dalam masyarakat terutamanya di sekolah.

Seharusnya tidak ada sama sekali alasan daripada ibubapa yang gagal untuk melindungi anaknya tidak kira di rumah mahupun di sekolah.

Ia adalah tanggungjawab kita sebagai orang lebih dewasa untuk memastikan anak kecil yang masih kecil untuk sentiasa dalam keadaan selamat.

Kita perlu bantu mereka untuk memelihara dan menjadi penjaga baik kepada mereka.

Namun begitu terdapat pelbagai berita yang menyayat hati melibatkan nyawa anak yang tidak bersalah.

Perkara ini telah menimbulkan persoalan bahawa adakah kita sebagai masyarakat telah gagal untuk melindungi nyawa anak-anak yang tidak bersalah?

Kisah Anak Kecil 7 Tahun Dibunuh Oleh Remaja Di Tahfiz

Negara telah dikejutkan dengan kematian anak yang masih kecil di sebuah pusat tahfiz apabila Mohammad Aimin Nurul Amin, 7 dibunuh oleh dua remaja berusia 13 tahun.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil itu dibacakan di hadapan Majistret Ti Pei Si dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Kedua-dua mereka sekadar mengangguk faham akan pertuduhan yang menyatakan mereka membunuh Mohammad Aimin, antara 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, 7 November lalu, di asrama Maahad Tahfiz Nahdah Syubban Addiniyah, Kampung Kuala Kaung, di Lanchang, Pahang.

Bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, mengesahkan kematian Mohammad Aimin disebabkan trauma akibat permukaan atau objek tumpul pada dada dan abdomen mangsa.

Mangsa difahamkan baru dihantar ke pusat tahfiz itu sekitar pertengahan Oktober lalu, bersama-sama abang tirinya berusia 13 tahun.

Tragedi ini sudah pasti membuat ramai yang mempersoalkan tanggungjawab pihak pengurusan pusat tahfiz tersebut.

Sekolah Tahfiz Kebanyakan Tidak Berdaftar

Malah tragedi menyayat hati seperti ini bukanlah yang pertama kali berlaku. Apa yang membuat perkara ini lebih teruk ialah sekolah tahfiz ini tidak ada peraturan dan pengawalan oleh pihak berkuasa tempatan.

Terdapat sekolah tahfiz yang tidak selamat malah ada yang memiliki infrastruktur yang boleh menjadi perangkap kematian bagi kanak-kanak ini.

Disebalik aspek keselamatan yang diabaikan, mengapa ibubapa masih menghantar anak mereka ke institusi yang tidak berdaftar sedangkan terdapat lebih 4,000 sekolah yang berdaftar di negara ini.

Statistik dari kerajaan mendapati terdapat 200 sekolah tahfiz yang masih belum berdaftar di negara.

Ibubapa Hantar Anak Ke Sekolah Tidak Berdaftar Boleh Dikenakan Tindakan

Kematian Muhammad Aimin adalah sesuatu yang tidak ada satu pun ibubapa sewajarnya alami. Sebuah kajian mendalam harus dijalankan dan pelaku harus dibawa keadilan supaya kematian adik Muhammad Aimin tidak akan sia-sia.

Kita juga harus memastikan perkara sebegini merupakan kes yang terakhir dan kita harus mencari jalan penyelesaian terbaik supaya ia tidak berulang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata ibubapa yang menghantar anak mereka ke sekolah yang tidak berdaftar boleh dikenakan tindakan undang-undang. Namun, ia masih belum jelas tindakan undang-undang bagaimana yang akan dikenakan.

Jangan Jadikan Sekolah Tahfiz Tempat Pembuangan Anak!

Pada masa yang sama, beliau tepat untuk mengatakan bahawa ibubapa seharusnya tidak membuat pusat tahfiz sebagai tempat “pembuangan”.

Sekolah agama ini sudah menjadi tempat bagi kanak-kanak bermasalah dan ibubapa menghantar anak mereka yang bermasalah ini dengan harapan sekolah tersebut boleh mengubah mereka melalui didikan para “ustaz”.

Ada juga yang memandang institusi ini sebagai tempat untuk memperbetulkan “kegagalan” ibubapa dalam mendidik anak sendiri.

Selain itu ada juga yang di kalangan masyarakat menganggap sekolah agama mampu untuk menggantikan persekolahan setelah mereka gagal di sekolah yang dianggap “duniawi”.

Ibubapa Perlu Bangun& Sedar Permasalahan Yang Dihadapi Anak

Menurut The Malaysian Reserve, isu dan permasalahan ini lebih kepada akar umbi dan memerlukan tamparan kepada para ibubapa.

Ini kerana menghantar anak yang bermasalah ke sekolah tahfiz hanya akan menyebabkan keadaan lebih teruk dan membuat mereka lebih rasa marah dan benci. Semua perkara ini akan membuat kehidupan anak lebih penuh dendan dan amarah.

Pesuruhjaya Anak SUHAKAM Prof Dato’ Noor Aziah bte Mohd Awal mendesak semua sekolah tahfiz di Malaysia sama ada yang berdaftar ataupun tidak untuk memantau keadaan di sekolah mereka dengan lebih teliti.

Ia bukanlah sebuah amalan yang baharu katanya. Pengawasan adalah kritikal untuk memastikan sikap buli dan kes penderaan sama seksual dan fizikal tidak berlaku di mana-mana sekolah.

Menurut statistik, 14 kes buli atau penderaan telah dilaporkan setiap hari tetapi angka asal untuk kes seperti ini adalah lebih tinggi kerana terdapat laporan yang tidak didedahkan dan ada yang malu untuk kehadapan dan membuat laporan.

Ia adalah hak setiap anak untuk rasa selamat dan berada dalam persekitaran kondusif. Oleh itu ia adalah tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk melakukan perkara yang betul bagi menjamin keselamatan dan hak mereka.

Leave a comment